Saturday, October 24, 2009

Update kes-Detektif Lim mencuri buku di MPH

KUALA LUMPUR 22 Okt. – Pelakon drama Gerak Khas, Mohd. Farid Amirul Hisham memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa dia dipaksa mengaku mencuri buku oleh pekerja kedai buku MPH selepas diberkas membawa keluar dua buah buku tanpa dibayar.

Mohd. Farid, 44, mendakwa dia merayu untuk berjumpa dengan pengurus kedai tersebut tetapi dia cuma disuruh mengaku bersalah oleh penyelia dan pengawal keselamatan yang menangkap dan membawanya ke sebuah bilik.

”Mereka turut memberi amaran kepada saya supaya tidak menjejakkan kaki ke mana- mana kedai buku MPH lagi selepas ini.

”Pada masa itu, saya terkejut, terpinga- pinga dan cuma mahu ingin memberi kerjasama,” katanya sewaktu menjawab pertanyaan peguam bela, Mohd. Azri Mohd. Ariff.

Menurutnya, dia ditangkap selepas alat penggera sensor berbunyi ketika dia melalui kawasan berdekatan dengan pintu masuk kedai tersebut sambil memegang dua buah buku yang belum dibayar.
Dia kemudian dibawa ke pondok polis di pusat membeli belah Mid Valley sebelum ditahan di Balai Polis Brickfields.

Pelakon yang dikenali menerusi watak Sarjan Lim itu memberi keterangan secara bersumpah dalam kandang saksi pada prosiding membela diri atas tuduhan mencuri dua buah buku iaitu The Sistine Secrets dan Decoding The Heavens.

Kedua-dua buku tersebut berharga RM104.90.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di kedai buku MPH di Mid Valley pada pukul 7.15 malam, 27 Mac lalu.

Pendakwaan terhadapnya dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Faizal Abdul Rahman mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Mohd. Faizi Che Abu bersambung 4 Disember ini

No comments:

Post a Comment

ads